Tatkala heboh mula diperkata,
Entah bagaimana mendapat nama,
Atas jalan kononnya juara,
Tersungkur jua mula merana.
Bagai sungguh digelar rempit,
Sekali pecut bagai pelesit,
Kerana fikiran dah mula sempit,
Kalau difikir cari penyakit.
Alasan diberi nak tunjuk jantan,
Padan dengan betina berkenan,
Aksi lagak di atas jalan,
Mengalahkan beruk kena belacan.
Bertambah hebat satu tayar,
Boleh berbaring masuk gear,
Adat bertaruh kena bayar,
Habuan dikejar awek dipugar.
Jumpa selekoh ditunggang baring,
Saja nak uji spring,
Ekzos ada tak cukup bising,
Teguran diberi tak ambil pusing.
Tayar depan biasa di angkat,
Yang belakang pun boleh buat,
Apabila polis adakan sekat,
Mula buat muka nak taubat.
Darah muda dikata gelora,
Sahut cabaran tak kena gaya,
Di jalan raya hilanglah nyawa,
Sesal kemudian sudah tak guna.
Jalan raya bukan tempat lumba,
Apatah lagi menunjuk gaya,
Walaupun aksi sungguh pesona,
Tapi sayang salah tempatnya.
Hargai keselamatan orang lain,
Nyawa bukan dibuat main,
Undang-undang tidak prihatin,
Akhirnya tubuh yang dibalut kain.
Gelagat terlibat ambil iktibar,
Daripada terusan menjadi tegar,
Ingatkan pesan walau sebentar,
Kelakuan yang buruk harus diselar.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.